Assalamualaikum w.b.t

Salam PMUKM dan Salam Minggu Mesra Pelajar.

Universiti adalah tempat yang diidam-idamkan oleh pencinta ilmu kerana segala cabang ilmu boleh ditimba oleh mereka yang bergelar mahasiswa/i. Syabas dan selamat datang diucapkan kepada mahasiswa/i yang berjaya menjejak kaki ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Saya mewakili Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) mengucapkan tahniah kepada anda semua kerana telah terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke UKM yang menjadi Universiti Kebanggaan Malaysia.

Seperti yang kita sedia maklum, UKM adalah antara IPT yang tersohor di negara kita, yang mana ia adalah IPTA yang satu-satunya dibina atas pengorbanan dan titik peluh rakyat. Kini UKM telah menjangkau usia 40 tahun dan seharusnya kematangan anda haruslah selari dengan kematangan UKM yang bermotokan ‘Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan’. Kita semua harus berbangga kerana terpilih menjadi sebahagian komuniti yang dikatakan berintelektual, berilmu dan berdaya saing. Peluang yang diberikan ini seharusnya digunakan dengan sebaik mungkin bagi membuktikan bahawa kita boleh menyumbang kepada agama, bangsa dan tanah air. Di sinilah tempat anda akan mencorak masa depan, yang mana anda sendiri menentukan bagaimana, apa, dan siapakah anda selepas anda keluar daripada gedung ilmu ini. Seorang Ulama Pencinta Ilmu iaitu Ibnu Abbas yang berprinsip “ILMU HARUSLAH DIDATANGI DAN BUKANLAH MENDATANGI”, ini membawa maksud kita seharusnya mengejar ilmu dan mendalami sesuatu ilmu dan bukanlah menunggu ilmu itu sampai kepada kita, agar keberkatan dan rahmat diperoleh dalam kita mempelajari dan memahami sesuatu perkara.

Barisan kepimpinan PMUKM kali ini mangajak adik-adik baru, yang mempunyai sebarang masalah,persoalan mahupun aduan terus berjumpa kami di Pejabat PMUKM yang terletak di Bangunan Pusanika atau boleh menyatakan suara adik-adik di laman sesawang kami :

Email : pmukm0910@gmail.com

Blog: pmukm09-10.blogspot.com

FB: pmukm_0910@yahoo.com

Semoga dengan cara ini kami dapat terus mendengar suara-suara baru mahasiswa/i Universiti Kebangsaan Malaysia dan terus berkhidmat demi menjaga kebajikan kita semua.

Saya selaku wakil kepimpinan mahasiswa kali ini berasa amat bangga dengan kehadiran anda semua ke UKM dan peluang yang anda peroleh ini tidak seharusnya disia-siakan kerana kejayaan anda akan mengubah corak kehidupan anda pada masa akan datang. Jadilah seorang yang bertanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

BERSAMA KITA BERSATU, BULATKAN NIAT YANG SATU, MAHASISWA/I UKM NO 1….!!!

“Mahasiswa Tunjang Aspirasi Universiti”


MOHD HAMZAH ZAINUL ABIDIN

PRESIDEN

PERSATUAN MAHASISWA

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

0 Response for the "PERUTUSAN PRESIDEN SEMPENA MINGGU MESRA PELAJAR"

Post a Comment