::SALAM PMUKM::

Assalamualaikum W.B.T.

Salam Perjuangan Buat Semua Teman….

Alhamdulillah, syukur kehadrat Ilahi kerana kita dapat menghirup udara yang segar dengan nikmat yang tidak terhingga , sekali lagi kita dapat bersama-sama dalam meneruskan agenda perjuangan mahasiswa di bumi ukm yang kita sama-sama cintai ini.

PMUKM MELABUHKAN TIRAI

Tepat 14/2/2011 adalah tarikh di mana PMUKM sesi 2009/2010 akan melabuhkan tirai dan pembubarannya akan diisytiharkan oleh pihak UKM. Maka dengan ini, saya mewakili kepimpinan Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua teman yang selama ini menyokong dan melemparkan kritikan membina kepada PMUKM untuk kesejahteraan kita bersama. Pepatah ada menyebut, pokok yang kita tanam pada hari ini kita tidak dapat merasai kemanisan buahnya, sama seperti perjuangan mahasiswa yang tiada kesudahan kerana PERJUANGAN ITU PASTI TERUS..!!!

KEPIMPINAN YANG SILIH BERGANTI

Pada 21/2/2011 ini akan berlangsung pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar oleh mahasiswa UKM dan kebanyakan IPTA di seluruh Negara. Maka ,dengan ini saya menggesa kepada rakan-rakan agar memilih calon yang benar-benar dirasakan layak untuk memegang tampuk kepimpinan PMUKM sesi 2010/2011 . Undi anda akan menentukan siapa yang akan bakal menerajui kepimpinan mahasiswa UKM kali ini. Saya menyeru kepada teman-teman agar turun beramai-ramai dan membuang undi pada tarikh keramat itu, kerana ini adalah tanggungjawab kita bersama sebagai mahasiswa UKM.

DEMOKRASI BERTANGGUNGJAWAB vs. DEMOKRASI BERKIBLATKAN UNDANG-UNDANG RIMBA

Seperti yang kita sedia maklum, mahasiswa dilihat sebagai golongan intelektual , golongan yang dilihat oleh masyarakat sebagai mereka yang akan memimpin masyarakat pada masa hadapan. Jadi dengan itu saya menyeru kepada teman-teman agar memilih golongan yang mengamalkan demokrasi yang bertanggungjawab dan bukannya mereka yang berkiblatkan undang-undang rimba yang mana menurut emosi semata-mata untuk mendapatkan atau meraih sokongan demi kepentingan individu dan nafsu semata-mata. Sebagai mahasiswa kita perlulah bijak dalam mengatasi sesuatu isu dan bukan semata-mata untuk meraih sokongan daripada mana-mana pihak.

MAHASISWA DAN POLITIK KEPARTISAN

Baru –baru ini kita dikejutkan dengan isu yang mana mahasiswa patut diberi peluang untuk menyertai mana-mana parti politik. Saya sebagai mahasiswa menolak sekeras-kerasnya isu yang diketengahkan ini. Hal ini kerana , kita sebagai mahasiswa patut berada dilandasan yang menunjukkan kekuatan suara kita sebagai mahasiswa dan anak muda. Jika kita terlibat terus dalam mana-mana parti politik di dalam Negara maka saya yakin dan percaya kita akan kehilangan suara untuk membuat keputusan kerana terikat dengan perlembagaan oleh mana-mana parti politik yang dilihat sebagai mereka yang ingin memperguna dan memperkuda kekuatan kita sebagai mahasiswa. Saya pinjam kata-kata Bung Karno “Berikan aku 1000 orang tua, niscaya akan kucabut semeru dari akarnya, berikan aku 10 pemuda, nescaya akan kuguncangkan dunia” . Dari pandangan saya melalui skop mahasiswa yang mewakili sebahagian belia di Negara ini , sebagai anak muda kita perlu mempunyai pandangan kita sendiri dan bebas untuk mengkritik mana-mana golongan untuk kebaikan masyarakat. Kita juga adalah golongan yang mana mempunyai kudrat yang lebih banyak ,yang mampu menyumbang sama ada buah fikiran atau pun fizikal kepada masyarakat mahupun kepada kerajaan Negara kita.

Teman-teman yang dikasihi,

Sebagai mahasiswa yang bertanggungjawab , kita perlulah cakna dalam apa jua isu yang terjadi di sekeliling kita, memberi respon dan berbincang dengan cara mahasiswa yang bertanggungjawab adalah kemahiran yang perlu ada dalam diri setiap mahasiswa. Saya tidak menafikan dan tidak akan sesekali menafikan bahawa akademik adalah perkara yang penting dalam kita memperjuang kebajikan dan hak mahasiswa mahupun masyarakat. Tetapi , sebagai seorang yang bergelar ‘mahasiswa’ kita patut peka dan cakna dengan kehidupan masyarakat luar dan tidak hanya berada di dalam dunia kita sendiri. Kita patut turun bersama-sama masyarakat kerana ‘dari masyarakat kita datang, kepada masyarakat kita kembali.

BUAT KERJA vs. RETORIK

Pemimpin yang dilahirkan melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) seharusnya berupaya dalam memahami dan membawa suara mahasiswa ke peringkat tertinggi. Mahasiswa sebagai agen perubah dan menentu kepimpinan masa hadapan baik sebagai pemimpin pelajar atau kepimpinan Negara seharusnya menggunakan pemikiran yang terbuka dan bukannya jumud dalam membuat pilihan. Saya selaku Presiden pelajar sememangnya menjunjung tinggi kebajikan pelajar UKM sebagai wadah perjuangan sepanjang tempoh kepimpinan PMUKM 2009/2010. Isu-isu yang membelenggu pelajar khususnya gangguan air, internet, haiwan liar dan isu-isu lain sentiasa menjadi keutamaan kami. PMUKM harus dilihat dalam berperanan menjaga kebajikan pelajar dan matlamat itu akan dipastikan berada pada landasan yang betul.

Berlandaskan perjuangan itu, pada 10/2/2010 barisan PMUKM sesi 2009/2010 telah menghantar Memorandum untuk Menggesa Pelaksanaan Ucapan Dasar Presiden PMUKM sesi 2009/2010 kepada YBhg. Tan Sri Naib Canselor UKM. Memorandum gesaan ini tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan segala agenda dan perancangan yang digariskan dalam Ucapan Dasar Presiden semasa penyerahan watikah MPP pada 23/2/2010 dilaksanakan oleh pihak pengurusan UKM. Hal-hal yang berkaitan kebajikan pelajar, kemudahan infrastruktur, dan lain-lain yang selama ini dijanjikan untuk dilaksanakan oleh pengurusan UKM dimasukkan dalam memorandum berkenaan. Hal ini menjadi bukti PMUKM sesi 2009/2010 sememangnya tidak pernah leka dalam memastikan amanah yang dipikul dilaksanakan sebaik mungkin demi mahasiswa UKM keseruluhan dan bukannya sekadar retorik yang dikatakan oleh sesetengah pihak.

Akhir kata dari saya, mahasiswa lahirnya dari dewan kuliah tetapi kematangannya akan dilihat ketika bersama-sama di perbukitan masyarakat kelak.

BERSAMA KITA BERSATU, BULATKAN NIAT YANG SATU, MAHASISWA UKM NOMBOR SATU..!!!

‘MAHASISWA TUNJANG ASPIRASI UNIVERSITI’


Mohd Hamzah Zainul Abidin,

Presiden PMUKM 2009/2010

1 Response for the "KEPIMPINAN BERSILIH GANTI, TERIMA KASIH KEPADA MAHASISWA"

  1. UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT

Post a Comment