Pagi tadi delegasi rombongan PMUKM diketuai oleh saudara Timbalan Presiden Mohd Hazwan Hamidun telah membuat kunjungan hormat bersempena Minggu Kempen Kesedaran Kanser Prostat (PAC) yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kebajikan Siswa Siswi (JAKSA) Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI) di perkarangan Tempat Letak Kereta Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras.

Minggu Kempen Kesedaran Kanser Prostat yang bertemakan Lelaki Sihat Keluarga Bahagia ini turut menganjurkan Larian Kesedaran Prostat yang disertai oleh pelajar KTDI dan pelbagai lapisan masyarakat sekitar HUKM. Wajah-wajah ceria dan semangat kesukanan yang tinggi jelas terpancar di setiap wajah peserta yang mengambil bahagian tanpa mengira umur. Larian ini dianjurkan bermula dari peringkat remaja hingga ke veteran yang harus berlari megelilingi HUKM dan tamat di perkarangan tempat letak kereta HUKM. Turut menyertai larian tersebut ialah Pengarah Pusat Perubatan UKM (PPUKM) Prof. Dato Dr. Lokman Saim dan Pengetua KTDI.

Selain daripada itu, orang ramai termasuk pelajar UKM tidak ketinggalan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan dengan hanya membayar RM 2 bagi perkhidmatan yang ditawarkan. dalam pada itu juga kepetahan pelajar-pelajar KTDI dalam menerangkan pemasalahan Kanser Prostat kepada orang ramai wajar diberikan pujian.

Majlis tersebut telah dirasmikan penutupannya oleh Yang Berbahagia Prof. Dato Dr. Mohammad Abdul Razak, Timbalan Naib Canselor UKM mewakili Naib Canselor UKM. Sebagai simbolik perasmian, Prof. Dato Dr. Mohammad Abdul Razak memotong kek menandakan penutupan dan sekali gus bagi menyambut Hari Bapa yang disambut hari ini.

Delegasi Rombongan PMUKM mengucapkan setinggi tahniah dan syabas kepada semua pelajar KTDI yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program yang dapat memberi impak kepada orang ramai sebegini.

0 Response for the "Minggu Kempen Kesedaran Kanser Prostat (PAC) Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI)"

Post a Comment