::SALAM PMUKM::

Sekalung tahniah buat Yang Berbahagia Prof. Dr. Sahrim Ahmad, dan Yang Berbahagia Prof. Dr. Shahidan Radiman di atas perlantikan sebagai Dekan dan Timbalan Dekan Prasiswazah, Alumni, & Hubungan Masyarakat Fakulti Sains & Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) masing-masing.

Atas perlantikan itu, MPP FST Tahun 3/4, saudara Firdaus dan saudara Rasydan Rais, telah mengambil inisiatif untuk berjumpa Timbalan Dekan, Yang Berbahagia Prof. Dr. Shahidan Radiman pada 3 Ogos 2010, bagi membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan agenda kebajikan mahasiswa/i FST khususnya. Selain itu, turut dibincangkan ialah keperluan-keperluan berkaitan kepentingan akademik mahasiswa/i.

Antara agenda yang dibincangkan ialah berkenaan Latihan Industri, prasarana di dewan kuliah, dan penyertaan mahasiswa/i FST dalam seminar-seminar akademik.


Saudara Firdaus dan Prof. Shahidan sedang berbincang dengan kehadiran seorang alumni sains nuklear



i) LATIHAN INDUSTRI

Ulasan :

Seperti yang semua sedia maklum, Latihan Industri yang bakal dijalankan oleh mahasiswa/i FST akan dijalankan pada semester 3 tahun akhir, selama 3 bulan. Sehubungan itu, MPP FST Tahun 3/4 mencadangkan agar prosedur permohonan untuk Latihan Industri ini dilakukan terlebih awal untuk memastikan mahasiswa/i FST dapat menjalani Latihan Industri di syarikat yang ternama yang memerlukan permohonan lebih awal. Latihan Industri yang dijalankan pada waktu ini amat bagus dan strategik, dan membolehkan mahasiswa/i UKM mendapat peluang untuk bekerja secara tetap dengan syarikat tempat mereka menjalankan Latihan Industri. Hal ini juga dapat meningkatkan kedudukan UKM dalam konteks kebolehpasaran pelajar di peringkat IPTA/IPTS.

Respons :

Yang Berbahagia Prof. Dr. Shahidan Radiman akan membawa perkara ini ke mesyuarat pentadbiran Fakulti Sains dan Teknologi dan memohon mencadangkan pengeluaran surat dan taklimat Latihan Industri lebih awal kepada mahasiswa/i FST yang terlibat.

ii) PRASARANA DI DEWAN KULIAH

Ulasan :

MPP FST 3/4 memandang serius berkenaan keadaan prasarana dan peralatan di dewan kuliah kerana prasarana dan peralatan seperti kerusi, meja dan alat bantuan proses pengajaran dan pembelajaran merupakan keperluan asas dalam menyampaikan kuliah, dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran secara harmoni tanpa sebarang gangguan. Justeru, MPP FST 3/4, memohon jasa baik Yang Berbahagia Prof. Dr. Shahidan Radiman untuk membawa perkara ini ke pengetahuan unit teknikal FST. Dari pihak MPP FST 3/4, perkara ini telah dibawa ke pengetahuan Jabatan Pengurusan Pembangunan (JPP) UKM untuk membuat penambahbaikan, dan merekonstruk semula prasarana dan peralatan dalam dewan kuliah yang telah uzur.

Respons :

Yang Berbahagia Prof. Dr. Shahidan Radiman juga memandang serius perkara ini dan mengharapkan para pelajar dapat memberi kerjasama yang baik dengan membuat laporan kepada MPP FST untuk tindakan seterusnya.

iii) PENYERTAAN MAHASISWA/I FST DALAM SEMINAR AKADEMIK

Ulasan :

Memandangkan seminar-seminar akademik yang dianjurkan oleh FST disampaikan oleh tokoh-tokoh akademik dalam dan luar negara kebanyakannya hanya melibatkan golongan siswazah dan ke atas, MPP FST 3/4 terpanggil untuk mencadangkan agar mahasiswa/i Prasiswazah diberikan peluang untuk menyertai seminar akademik untuk memantapkan lagi pemahaman dalam bidang yang diceburi. Seminar-seminar akademik ini penting dalam usaha melahirkan mahasiswa/i FST yang mempunyai daya intelek yang tinggi, dan minda kelas pertama selain menggalakkan mereka untuk terus melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Respons :

Yang Berbahagia Prof. Dr. Shahidan Radiman bersetuju dengan perkara yang dipohon, dan menyatakan beliau akan membantu dengan membawa perkara ini ke pengetahuan Dekan FST, dan mencuba memberi ruang kepada mahasiswa/i Prasiswazah FST untuk menyertai seminar-seminar akademik anjuran FST mahupun jemputan luar secara percuma mengikut kemampuan kewangan fakulti.


"MAHASISWA TUNJANG ASPIRASI UNIVERSITI"



0 Response for the "MMP FST BERSAMA TIMBALAN DEKAN BARU FST"

Post a Comment